ROMPIN – Seorang imam yang dalam perjalanan pulang dari masjid maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Kilometer 158 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu mangsa, Mohd. Sam Awang, 71, dalam perjalanan dari Masjid Tanjung Gemok ke rumahnya di Tanjung Pahang di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian sebuah lori yang sedang bergerak lurus telah melanggar motosikal jenis Yamaha Nouvo LC ditunggang mangsa yang melintas jalan dari simpang Sarang Tiong ke simpang Tanjung Pahang.
“Akibat kejadian penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan rata serta semasa kejadian cuaca adalah baik. – KOSMO! ONLINE