PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di tiga negeri sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataannya di Facebook berkata, cuaca buruk tersebut melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah.
“Hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Sementara itu, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur cuaca sama meliputi seluruh kawasan manakala di Sabah, hanya di Pantai Barat (Ranau) dan Kudat (Kota Marudu),” kata kenyataan tersebut.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE