PASIR PUTEH – Hasrat seorang guru besar di Sekolah Kebangsaaan (SK) Tok Bali di sini untuk untuk berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan di rumah anak-anak yatim dekat Machang tidak kesampaian apabila motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Kilometer 12,Jalan Pasir Puteh-Machang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Wan Ab. Hisham Wan Noh, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dipandu seorang wanita berusia 20 tahun sedang dalam perjalanan dari Machang ke Pasir Puteh.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang pemandu lori berusia 39 tahun berada di belakang Perodua Kelisa itu dipercayai merempuh sisi kiri kereta wanita terbabit.
“Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Kelisa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal jenis Yamaha NVX ditunggang Wan Ab. Hisham.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaizul Rizal, ujian saringan air kencing mendapati, pemandu kereta jenis Perodua Myvi itu positif dadah jenis methamphetamine dan sudah ditahan reman untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati, nahas berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang merempuh sebuah lagi kereta sehingga hilang kawalan sebelum bertembung motosikal mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE