fbpx

Gelombang haba melanda India, 4 maut akibat strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhu panas juga dirasai di ibu negara India, New Delhi. - Foto Hindustan Times

NEW DELHI – Seramai empat orang meninggal dunia akibat serangan strok haba di negeri Telangana, selatan India apabila gelombang haba menyebabkan suhu me­ningkat kepada sekitar 40 darjah Celsius atau lebih tinggi di keba­nyakan daerah, lapor portal be­rita Indiatimes.com kelmarin.

Di negeri jiran, Odisha, Ketua Menterinya, Naveen Patnaik pada Selasa lalu mengarahkan supaya semua sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak luar bandar dikenali sebagai anganwadis, ditutup dari 12 hingga 16 April ini berikutan gelombang haba yang melanda.

Kerajaan negeri Odisha juga menyatakan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia akibat strok haba, maka siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Suhu meningkat sejak beberapa hari lalu dengan jabatan meteorologi mengeluarkan amaran gelombang haba di seluruh ne­geri Odisha.

Meramalkan keadaan gelombang haba dari 13 hingga 15 April ini, jabatan tersebut telah me­ngeluarkan amaran kuning untuk ­beberapa daerah.

Di ibu negara India, New Delhi kerajaan mengeluarkan garis panduan mengenai persediaan sekolah dalam menghadapi cuaca panas berterusan.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan Delhi, ia menyatakan bahawa semua sekolah di ibu negara tersebut yang diiktiraf di bawah direktorat pendidikan perlu memastikan tiada perhimpunan pelajar semasa waktu petang.

“Memandangkan suhu siang hari di Delhi melebihi 40 darjah Celsius semasa musim panas, ini boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak dan remaja yang merupakan belajar sekolah. Pe­ningkatan suhu ini menyebabkan peningkatan penyakit berkaitan haba,” katanya.

Semua sekolah sama ada yang menerima bantuan kerajaan atau sebaliknya, perlu memastikan air minuman disediakan kepada pelajar, kata pekeliling rasmi itu.

“Pelajar perlu diberi rehat untuk mendapatkan air ketika kelas,” tambah pekeliling sama.

Wilayah Delhi pada Rabu lalu mencatatkan suhu 36.5 darjah Celsius iaitu tertinggi sepanjang tahun ini.

Suhu maksimum dijangka mencecah paras 40 darjah Cel­sius dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Jabatan Meteorologi India meramalkan suhu maksimum lebih panas daripada biasa dan gelombang haba yang lebih lama melanda barat laut India dari April hingga Jun ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI