LONDON – Chelsea terus memburu kemenangan pertama di bawah bimbingan pengurus sementara, Frank Lampard menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Stamford Bridge malam ini.
The Blues berada dalam situasi sukar ketika ini selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut ketika bertemu Wolverhampton Wanderers dan Real Madrid, sekali gus menyaksikan pasukan terus berdepan tekanan.
Situasi bertambah buruk apabila penjaga gol, Kepa Arrizabalaga secara terbuka mengakui, pertukaran tiga pengurus sepanjang saingan musim ini menjadi punca utama mereka beraksi di bawah tahap sebenar.
“Kami berada di bawah tiga pengurus pada saingan musim ini dan secara jujur, saya anggap ia menjadi salah satu punca Chelsea berada dalam situasi sekarang. Perubahan itu memberi kesan kepada semua pemain.
“Ketika bertemu Real, itu bukanlah Chelsea yang sebenar. Saya harap rakan sepasukan dapat mengambil tanggungjawab bagi memastikan Chelsea kembali ke prestasi asal,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.
Kelmarin, seperti dijangka, Chelsea terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada Real pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara selain menyaksikan bek kiri, Ben Chilwell dilayangkan kad merah.
Melayan kunjungan Brighton di laman sendiri malam ini, juara Eropah dua kali itu dijangka bergelut memandangkan mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan terdahulu. – AGENSI