SEGAMAT – Dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, di Kampung Bukit Tunggal di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 5.10 petang.
“Mangsa dikenalpasti sebagai Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12. Kedua-dua mangsa disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.
“Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah dan siasatan awal mendapati mereka ke sungai berkenaan untuk mandi.
“Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya.-KOSMO! ONLINE