Seorang peniaga di bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mengeluh sambil menyatakan jualan pakaian untuk sambutan hari raya di gerainya paling teruk dihadapinya sejak 20 tahun berniaga di situ.
Dia yang terkesan dengan keadaan itu memberitahu, ramai pengunjung yang datang ke bazar berkenaan setiap hari, namun mereka hanya sekadar membelek-belek dan berlalu pergi tanpa membeli sebarang pakaian.
Kemerosotan teruk jualan itu dikatakan bukan sahaja dihadapi di bazar Aidilfitri Jalan TAR, malah turut berlaku di beberapa tempat lain di seluruh negara.
Puncanya, orang ramai kini mula lebih berhemah dalam berbelanja. Sebagai solusinya ramai yang memilih berbelanja secara online yang katanya jauh lebih murah dengan kualiti yang sama atau lebih baik berbanding dengan apa yang dijual di bazar-bazar Aidilfitri.
Persoalannya, mengapa kuasa beli dalam kalangan rakyat ketika ini kelihatannya merosot dengan ketara sehingga ramai yang terdorong untuk mencari alternatif demi mendapat harga yang lebih murah ketika berbelanja persiapan raya termasuk ‘bershopping’ melalui online.
Jujurnya, ketika ini ramai sebenarnya yang terkesan akibat faedah Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75 peratus yang dikenakan oleh bank-bank. Rata-rata mereka yang membuat pinjaman perumahan atau kenderaan tertentu terpaksa membayar lebih antara RM200 hingga lebih RM1,000 bergantung kepada jumlah pinjaman pada setiap bulan berbanding bayaran bulanan semasa.
Sedangkan, bayaran lebihan itu sepatutnya boleh digunakan oleh mereka untuk menampung perbelanjaan seharian termasuk untuk membuat persiapan raya.
Sebagai contoh, jika seseorang itu terpaksa membayar lebihan pinjaman perumahan sebanyak RM500 sebulan sebagai bunga OPR, untuk empat bulan saja dia terpaksa membayar sebanyak RM2,000.
Jadi, bayangkan jika wang sebanyak RM2,000 menjadi tabungan mereka, sudah semestinya mereka mempunyai wang cukup untuk berbelanja bagi menyambut Aidilfitri ini.
Sudah semestinya jumlah rakyat di negara ini yang masih mempunyai hutang rumah atau kereta ketika ini bukan seorang, malah jumlahnya mungkin mencecah jutaan orang dan bayangkan mereka semua terkesan untuk membayar bunga OPR tersebut.
Senario ini mungkin merupakan antara faktor menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat tidak berkeupayaan untuk berbelanja seperti seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang Aidilfitri ini.
Jadi tidak hairanlah kenapa peniaga-peniaga bazar raya yang selama ini meraih laba besar setiap kali sambutan Aidilfitri kini tidak lagi menjadi pilihan pelanggan kerana orang ramai terpaksa berjimat dengan beralih kepada peniaga-peniaga produk raya yang lebih murah khususnya melalui online.
Peniaga online ini mampu menjual barangan bermutu dengan harga lebih murah, manakala pelanggan pula lebih mudah memilih barangan yang mereka hajati.
Jika beginilah keadaannya, masa depan bisnes bukan sahaja di bazar Aidilfitri bakal suram, malah bisnes-bisnes yang lain juga mungkin akan turut terkena tempias ekoran jumlah wang boleh belanja semakin merosot khususnya yang sedang menanggung hutang dengan pihak bank akan menjadi semakin kecil.