fbpx

Ambulans udara jimatkan kos kerajaan RM15juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming dan Zaliha bersama EMARS yang dilancarkan di Aeon Mall Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Perkhidmatan ambulans udara yang bakal bermula 1 Mei ini akan menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM15 juta setahun.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia menggunakan helikopter bomba jenis Augusta AW109E sedia ada yang diubah suai dan dilengkapi dengan peralatan perubatan kecemasan.

Katanya, kerjasama ini dilakukan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) seterusnya membuktikan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja prihatin tetapi bekerja satu pasukan.

“Ketika ini, KKM terpaksa mengupah khidmat pakar swasta termasuk ‘flying doctor’ di kawasan pendalaman dengan anggaran perbelanjaan setiap tahun berjumlah RM20juta.

“Menerusi khidmat ditawarkan pasukan bomba, kita cuma belanja RM5juta setahun. Jadi, kita jimat duit rakyat sebanyak RM15juta setiap tahun dan satu penggal berjumlah RM75juta,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan Emergency Medical Air Ambulance Rescue Services (EMARS) dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan Tahun 2023 bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di pekarangan Aeon Mall, Seksyen 13, di sini.

Kor Ming memberitahu, perkhidmatan ambulans udara ketika ini hanya melibatkan seluruh Semenanjung dengan memfokuskan kepada kes kecemasan seperti pemindahan organ dan kemalangan.

“Setakat ini, hanya satu ambulans udara dan kita berharap jika kedudukan kewangan bertambah baik dapat memperoleh lagi helikopter baharu kesemua seluruh negara.

“EMARS akan membawa enam individu termasuk doktor dan pegawai selain pesakit serta peralatan dan bekalan perubatan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kempen Keselamatan Musim Perayaan, beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah membekukan cuti 80 peratus anggotanya bagi menjalankan tugas mengikut syif di 334 buah balai bomba di seluruh negara. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI