LONDON – Seorang ahli perniagaan yang memalsukan wasiat ibunya dalam usaha untuk membolot saham bernilai £40 juta (RM220.44 juta) di Malaysia, dipenjarakan selama lima setengah tahun di England, lapor MailOnline.
Girish Dahyabhai Patel, 71, dijatuhi hukuman itu di Mahkamah Southwark Crown semalam selepas didakwa oleh anak saudaranya sebagai melakukan penipuan tersebut.
Pada 2011, Girish menggunakan dokumen palsu untuk memfailkan tuntutan di mahkamah tinggi bagi mengawal harta pusaka ibunya, Prabhavati Dahyabhai Patel. Wanita itu mewariskan seluruh hartanya kepada abang Girish, Yashwant Patel selepas kematiannya.
Harta pusaka itu termasuk bahagian satu pertiga aset keluarga tersebut dalam Aumkar Plantations yang memiliki 8,093 hektar tanah dan ditanam dengan pokok kelapa sawit di Malaysia.
Berikutan tindakan undang-undang Girish yang gagal di Seychelles, dia kemudian mendakwa bahawa terdapat satu wasiat lain pada 2005 yang telah ditandatangani oleh ibunya bersama saksi di Britain. Wasiat itu adalah ganti kepada wasiat sebelum ini pada 1986 dan menyerahkan segala harta mendiang kepadanya.
Dia dipenjara lima setengah tahun selepas didakwa oleh anak saudaranya, Prashant Pate iaitu anak kepada abang sulung defendan, Rajnikant Patel yang tinggal di Australia. – Agensi