MADRID – Juara bertahan, Real Madrid seperti meletakkan sebelah kaki ke pentas separuh akhir selepas menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi suku akhir pertama saingan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Galacticos tidak mempunyai masalah untuk mempamerkan aksi dominan hasil jaringan yang dilakukan Karim Benzema dan Marco Asensio ketika Chelsea terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Ben Chilwell dilayangkan kad merah.
Ketua jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata, tiada sebarang jaminan bahawa pasukannya sudah layak ke kelompok empat kelab terbaik Eropah kerana masih perlu mengharungi 90 minit di tempat lawan pada aksi kedua minggu depan.
“Saya cukup kenal dengan bola sepak dan mereka pasti kelebihan 2-0 tidak memberikan sebarang makna kerana kita ada 90 minit lagi perlawanan yang saya jangka sukar di Stamford Bridge nanti.
“Saya harap semua pemain bersedia seratus peratus meskipun harus diakui kita memiliki peluang terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir. Cuma, Chelsea masih lagi mempunyai ramai pemain berkualiti yang boleh mengubah keputusan pada bila-bila masa.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pasukan kerana apabila anda menentang pasukan lawan yang beraksi dengan 10 pemain, ia bertambah sukar kerana mereka terdesak untuk bertahan.
“Namun, kita masih mampu untuk menambah jaringan dan saya anggap 2-0 ini keputusan yang positif tetapi dalam masa yang sama peluang untuk kedua-dua pasukan kekal terbuka,” kata pengendali import kelahiran Itali itu. – AGENSI