JELEBU – Sambutan perayaan Aidilfitri buat beberapa keluarga di Kampung Dusun Umbut dan Kampung Chalin dekat Chennah di sini pastinya lebih bersinar apabila rumah yang mereka diami sejak 50 tahun lalu telah mendapat bekalan elektrik sempurna sejak dua minggu lalu.
Seorang penduduknya, Siti Kamsiah Surik, 54, berkata, sejak dari dilahirkan dia sudah tinggal di rumah berkenaan dan sepanjang waktu itu dia pernah menggunakan kayu api set generator bagi memudahkan urusan seharian.
“Sebelum ini kami sekeluarga pernah menggunakan kayu api dan set generator pula kosnya agak mahal. iaitu sebanyak RM10 sehari. Sejak lima tahun pula, kami menggunakan solar untuk mendapatkan bekalan elektrik.
“Tahun ini saya bersyukur apabila kesusahan kami berakhir menerusi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB). Saya bersama adik-beradik berhasrat untuk berkumpul bersama sempena Aidilfitri dan pastinya kali ini lebih ceria dan meriah,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas sesi lawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ke projek BELB Sambungan Talian Grid Semenanjung Malaysia dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Fakir Miskin di Masjid Kampung Chennah di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penerima manfaat projek berkenaan, Sharif Sumun, 71, berkata, dia amat bersyukur kerana masih sempat untuk menikmati bekalan elektrik yang lebih sempurna selepas lebih 50 tahun tinggal di situ.
“Rumah ini merupakan peninggalan arwah bapa saya dan kini selepas begitu lama menunggu saya sempat menikmati bekalan elektrik yang lebih baik dan bersyukur ia dapat digunakan sebelum sambutan hari raya tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, sebanyak 99. 9 peratus rumah sudah dilengkapi bekalan elektrik di negeri ini termasuk menerusi projek BELB yang diselaraskan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
“Projek ini bagi memastikan penduduk mendapat bekalan elektrik dengan sempurna dan saya berharap penduduk yang terlibat dapat menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini dengan lebih ceria,” katanya.
Jelas beliau, projek BELB yang melibatkan 39 buah rumah di Kampung Dusun Umbut dan Kampung Chalin itu telah dimulakan pada 9 November 2020 dan telah siap sepenuhnya pada 8 November tahun lalu.
Turut memperoleh manfaat menerusi projek berkenaan adalah sebanyak 16 buah rumah di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Seremban. – KOSMO! ONLINE