KUALA LUMPUR – Ratu lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi berpotensi mempertahankan pingat emas dimenanginya menjelang Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zaki Sadri apabila menyifatkan Sarah, 23, berada pada landasan tepat untuk mengulangi kejayaan seperti di Sukan SEA Hanoi tahun lalu.
Zaki juga percaya Sarah mampu menyerlah walaupun di bawah penguasaan Roslinda Samsu yang sehingga kini masih memegang rekod lompat galah kebangsaan dengan catatan 4.40 meter (m) dilakukan di Sepanyol pada 2006.
“Saya ada berbincang dengan Sarah dan dia berkata tiada masalah tentang latihan, jadi kita letakkannya di bawah penguasaan Roslinda.
“Mungkin dari segi latihan agak berbeza tetapi berdasarkan pencapaian terkini, Sarah masih konsisten dan tiada masalah lompat 4m. Dia buktikannya di kejohanan jemputan Tawan baru-baru ini.
“Jika dia gagal lepasi 4m, mungkin kita perlu perbaiki keperluannya. Cumanya saya harap dia boleh fokus dan kekalkan pingat emas buat negara,” katanya.
Ia pastinya sukar buat Sarah kerana terpaksa berlatih berseorangan tanpa bantuan jurulatihnya, Mohd. Manshahar Abdul Jalil yang tidak disambung kontrak sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan sejak awal tahun ini.
Berdasarkan statistik terkini, Sarah masih lagi berkedudukan tempat pertama di ranking Asia Tenggara mengatasi pencabarnya dari Thailand, Chonthicha Khabut dan atlet Filipina, Alyana Joyce Nicholas. – KOSMO! ONLINE