fbpx

Rumah jadi stor simpanan rokok seludup bernilai RM180,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raiz Mukhliz (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas bernilai RM180,000 di Bakri, Muar.

MUAR – Tindakan seorang lelaki warga tempatan menjadikan kediamannya sebagai stor penyimpanan rokok tanpa cukai terbongkar apabila aktiviti haram tersebut berjaya dihidu polis di Bakri, Muar.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, tindakan lelaki yang berusia 48 tahun itu menjadikan sebuah rumah teres satu tingkat berkenaan sebagai stor penyimpanan bagi mengaburi mata pihak polis.

“Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan pihak polis pada Rabu lalu kira-kira pukul 10.30 malam dan menemukan sebanyak 874 karton rokok pelbagai jenama dengan anggaran keseluruhan rampasan hampir RM180,000.

“Modus operandi suspek adalah mendapatkan rokok berkenaan daripada negara jiran dan menjadikan rumah miliknya sebagai stor sebelum diedarkan di pasaran sekitar Muar.

“Hasil siasatan awal, suspek sudah satu tahun aktif menjual rokok tanpa cukai ini dan dipercayai bergerak secara bersendirian. Namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Tambah Raiz, rokok berkenaan dipercayai dijual kepada pekerja ladang dan pekerja kilang warga asing serta menjadi ‘pembekal’ kepada kedai-kedai runcit yang menjual rokok terbabit.

Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Suspek ditahan reman selama lima hari bermula 13 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000 mana yang lebih besar.

“Suspek juga boleh didenda tidak melebihi 25 kali nilai barangan atau RM500,000 mana yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan penyeludupan serta menyalurkan terus maklumat berkaitan kegiatan tersebut kepada pihak berkuasa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI