KUALA LUMPUR – Empat bulan bergelar duda selepas bercerai pada Februari lalu, penyanyi dan pelakon, Cat Farish mengakui dirinya masih dalam fasa keliru.
Cat atau nama sebenarnya, Farrish Zaquan Ramli, 48, berkata, dirinya belum bersedia untuk kembali bercinta, namun berasa sepi jika bersendirian.
“Boleh dikatakan sekarang kehidupan saya keliru. Saya ada berkenalan dengan orang baharu tapi saya jadi risau bila hubungan itu semakin rapat.
“Saya takut untuk berada dalam satu hubungan. Saya juga tidak mahu terikat, nanti buat apa pun tak boleh.
“Tapi saya juga tidak boleh duduk seorang diri melayan perasaan yang serabut ini,” ujarnya usai majlis sidang media Konsert Jelajah Ruffedge di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tunku Bainun, di sini, kelmarin.
Berkongsi tentang kegagalan perkahwinan keduanya, Cat tidak kisah jika dianggap menjadi punca hubungan yang dibina dua tahun itu musnah.
“Saya tidak peduli orang nak cakap apa pun, saya terima kalau orang kata saya puncanya. Bagi saya apa pun kesalahan dalam rumah tangga berpunca daripada suami.
“Dosa isteri, suami yang tanggung. Jadi daripada saya tanggung dosa baik selesaikan sahaja,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, hubungan baik dengan keluarga bekas isteri pertama juga mungkin menjadi punca perkahwinan keduanya gagal.
Katanya, dia tidak mahu perkara itu membuatkan bekas isteri kedua tertekan dan memendam perasaan terlalu lama.
“Hubungan dengan bekas isteri pertama baik, kami rapat macam kawan. Keluarga dia semua baik dengan saya. Bekas ibu mentua juga masih anggap saya macam anak.
“Kami selalu berkomunikasi, malah baru-baru ini ketika telefon saya digodam, dia antara mangsa yang terpedaya beri duit RM3,000 semata-mata sangkakan saya dalam kesusahan.
“Saya fikir perkara-perkara itu mungkin menjadi punca (perceraian). Saya tak mahu dia (bekas isteri kedua) pendam perasaan terlalu lama terhadap saya.
“Dia masih muda dan boleh kejar apa dia mahu buat, saya tak nak jadi halangan,” ujarnya.
Februari lalu, Cat mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya, Suriani Hassan, 37, dengan talak satu di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.
Cat dan Suriani berkahwin pada 20 November 2020 yang merupakan perkahwinan keduanya, namun tidak dikurniakan anak.
Sebelum itu, Cat pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar,12. – KOSMO! ONLINE