PETALING JAYA – Raja Pop legenda, Datuk Jamal Abdillah menyambut kelahiran anak keenam yang diberikan nama Rahil Laura Salsabila Yamani, di sebuah pusat perubatan di ibu negara di sini, pukul 2.55 petang tadi.
Bayi perempuan seberat 2.94 kilogram yang dilahirkan menerusi kaedah pembedahan itu juga ada anak keempat hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, yang dinikahi pada 2017.
“Alhamdulillah rezeki Ramadan. Isteri dan anak sihat-sihat saja. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan keluarga saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Rumah tangga mereka diserikan tiga lagi cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani yang berusia tiga tahun; El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani, setahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal, 64, dikurniakan dua anak lelaki yang juga penyanyi, Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.
Terdahulu penyanyi Gadis Melayu itu memilih 1 April untuk melahirkan anak bongsunya bertepatan sempena tarikh ulang tahun keenam perkahwinannya dengan Zai Izzati.
Bagaimanapun, Jamal berkata, doktor memberitahu, usia kandungan ketika itu masih terlalu awal sehingga perlu ditangguhkan dua minggu kemudian.
Sementara itu, mengenai pemilihan nama Rahil Laura Salsabila Yamani,
katanya dua nama diusulkan rakan manakala dua lagi nama adalah pilihannya sendiri.
“Rahil adalah ibu kepada Nabi Yusuf dan kami akan guna Laura sebagai panggilannya,” katanya lagi yang mengatakan sudah cukup enam anak sebagai pelengkap hidupnya.
– KOSMO! ONLINE