fbpx

Produk daging khinzir tanpa dokumen sah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara produk daging khinzir bernilai lebih RM12,000 yang dirampas Maqis Pulau Pinang di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan keluaran hasilan haiwan (produk daging khinzir) bernilai lebih RM12,000 tanpa dokumen yang sah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.

Pengarah Maqis Negeri, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, barangan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis di lapangan terbang berkenaan.

“Siasatan mendapati, keluaran hasilan haiwan (daging khinzir) tersebut ditahan kerana tidak mempunyai permit import serta sijil kesihatan veterinar yang sah.

“Dagangan ini dibawa dari China, Singapura dan lain-lain negara merupakan jenis hasilan haiwan seperti sosej daging khinzir, daging salai dan pelbagai lagi hasilan haiwan yang diimport dengan keseluruhan berat dagangan sebanyak 70 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM 12,305,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru jelasnya, Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri negara.

“Daging khinzir merupakan haiwan berisiko dan mudah dijangkiti penyakit seperti African Swine Fever (ASF) di mana ia boleh didapati pada daging babi walaupun ia telah diproses dan tersedia untuk dimakan.

“Pintu masuk Maqis seperti lapangan terbang antarabangsa merupakan kawasan yang berisiko tinggi untuk tersebar penyakit seperti ASF di mana penumpang dari pelbagai negara membawa produk makanan tersebut melalui bagasi (hand carry) ke Malaysia.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI