SUNGAI PETANI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyediakan laporan penuh berhubung penyeludupan 336 kilogram dadah jenis heroin dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Australia pada Mac lalu.
“Saya sudah minta kastam yang bertanggungjawab bagi laporan penuh tentang punca apa yang berlaku dan bagaimana sudah 12 hingga 16 kali berlaku sehingga (suspek) ditangkap di Australia.
“Ia tunjuk kelemahan (kita) dan mesti diatasi. Saya juga minta polis terutama Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial juga bersama dalam siasatan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri Madani, di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada JKDM untuk menyediakan laporan penuh berhubung kes penyeludupan berkenaan.
“Baru-baru ini ada penyeludupan sejumlah besar dadah ke Australia, yang mana ia satu perkara yang mengaibkan, jika dibuktikan sah kerana ia dari Pelabuhan Klang.
“Soalnya bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang ini boleh bolos. Ia bukan soal kecil tetapi tunjuk kelemahan dalam sistem kita,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, hal-hal sedemikian masih berlaku dalam keadaan pihaknya membicarakan tentang tatakelola pengurusan kerajaan yang baik, menentang rasuah dan salah guna kuasa.
“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memberikan tolak ansur, kita harus lebih keras terhadap penjenayah ini,” tambahnya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE