TENOM – Seorang pengawal keselamatan cedera di tangan kiri selepas diserang menggunakan objek tajam oleh dua individu yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom, semalam.
Dalam kejadian antara pukul 1 hingga 2 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30 tahun berkenaan turut diikat oleh suspek sebelum memecah masuk pejabat Imigresen terbabit melalui pintu belakang pejabat dengan memotong gril dan memecah masuk pintu.
Suspek kemudiannya beredar dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan warna merah yang menunggu dibelakang halaman pejabat.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pengawal keselamatan itu sudah membuat laporan pada pukul 12.41 tengah hari semalam.
Beliau berkata, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di pejabat Imigresen Tenom pada pukul 10.30 pagi tadi untuk membuat pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE