MANCHESTER – Proses pengambilalihan Manchester United memasuki episod baharu apabila pemiliknya, Keluarga Glazer meneruskan proses bidaan memasuki pusingan ketiga sehingga mula menimbulkan rasa tidak puas hati para pembida.
Beberapa pembida dikatakan mula kecewa dengan sikap ditunjukkan Glazer yang masih tidak berpuas hati terhadap jumlah bidaan sedia ada sehingga terpaksa meneruskan proses tersebut sehingga ke pusingan ketiga.
Difahamkan, Glazer merasakan bidaan sedia ada tidak menepati kemahuan memandangkan mereka mahu melepaskan pasukan itu dengan bidaan rekod dunia melebihi £5 bilion (RM27.48 bilion).
Salah satu pembida yang sudah menarik diri daripada ‘perang harga’ tersebut adalah taikun dari Finland, Thomas Zilliacus apabila beliau menyifatkan proses bidaan semakin meleret dan mengarut.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak turut serta dalam bidaan ketiga bagi mendapatkan United. Proses bidaan ini sudah menjadi mengarut kerana Glazer seolah-olah tidak menunjukkan rasa hormat kepada pasukan.
“Sekiranya mereka terus melengahkan proses ambil alih pasukan, ia pasti akan mendatangkan masalah kepada pemilik baharu yang perlu membentuk semula struktur pasukan bagi saingan musim depan,” katanya.
Difahamkan, dua pembida utama, Sheikh Jassim dan Sir Jim Ratcliffe akan meneruskan bidaan buat kali ketiga dengan penyokong-penyokong United menyuarakan harapan wakil dari Qatar itu menang dalam bidaan tersebut. – AGENSI