PUTRAJAYA- Kerajaan mengalu-alukan pengekalan penarafan Moody’s Investors Service (Moody’s) bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil.
Kementerian Kewangan berkata, pengekalan penarafan itu mencerminkan keazaman negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan daya tahan walaupun berdepan persekitaran global mencabar dan tidak menentu.
“Moody’s menyatakan kepelbagaian dan daya saing ekonomi Malaysia serta akses kerajaan kepada sumber pembiayaan domestik yang kukuh akan terus menjadi kekuatan kepada penarafan.
“Ini membantu mengurangkan peningkatan risiko fiskal berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan beban hutang bertambah seterusnya mengehadkan kemampuan keberhutangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Jelas kenyataan itu, Moody’s turut menjangkakan pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2023 berikutan situasi ekonomi global yang menyederhana seterusnya mempengaruhi permintaan luar terhadap produk pembuatan walaupun terdapat peningkatan eksport komoditi, pemulihan dalam sektor pelancongan dan pengukuhan pasaran buruh.
“Dalam jangka masa sederhana, Moody’s mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar Malaysia pada sekitar 5 peratus menjelang 2025.
“Ia menghampiri potensi pertumbuhan output dan disokong oleh demografi yang baik berbanding negara berpenarafan setara A, tahap pelaburan kukuh serta permintaan yang lebih tinggi dari negara maju,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE