KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang lelaki mencuri lima pasang baju Melayu bernilai RM1,930, minggu lalu, membawa padah apabila dia dipenjara sebulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Saipullizan Mohd. Yusop, 54, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 10 April lalu dan dipenjara sebulan lagi sekiranya denda gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan, Saipullizan didakwa telah mencuri baju-baju melayu jenama Pasha yang milik sebuah kedai di ruang legar aras bawah, pusat beli-belah Avenue K, Jalan Ampang, di sini, antara pukul 1 tengah hari dan pukul 7 malam pada 9 hingga 10 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran dan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kerugian yang dialami oleh pengadu (pemilik gerai baju melayu).
“Saya percaya tertuduh tidak menunjukkan tanda keinsafan kerana dia pergi ke tempat sama untuk mencuri sebanyak tiga kali sebelum berjaya ditangkap. Tertuduh juga bukanlah pesalah kali pertama kerana sebelum ini dia pernah dijatuhi hukuman atas kesalahan sama sebanyak dua kali pada 2014 dan 2017,” kata Nur Diana.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Nicholas Cheoh memohon hukuman penjara dan denda minimum atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak selain pengakuan salahnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh ke ruang legar itu telah mengambil tiga pasang baju melayu dari rak jualan yang dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran ke atas baju-baju tersebut.
Tertuduh kemudian telah menjual tiga pasang baju tersebut dan hasil siasatan mendapati wang hasil jualan digunakan untuk membeli makanan dan bekalan dadah.
Pada keesokan harinya tertuduh sekali lagi telah ke gerai baju tersebut dan mengambil dua pasang baju melayu dan menggunakan cara sama untuk dijual.
Seterusnya, pada pukul 7 malam hari sama, tertuduh sekali lagi cuba mencuri baju melayu di tempat sama namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE