fbpx

Larangan perjalanan kenderaan barangan pada 20, 21, 24, 25 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menguatkuasakan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

MOT menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan pada 20 dan 21 April 2023 (sebelum perayaan) serta pada 24 dan 25 April 2023 (selepas perayaan).

Menurutnya, ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira peningkatan trafik ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman.

“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian dan perintah penurunan had laju kebangsaan juga akan turut dikuatkuasakan bersama-sama road-ban ini,” katanya.

Katanya, menurut Perintah Had Laju Kebangsaan (Pemberhentian Sementara) dan Perintah Had Laju Tempatan (Jalan Persekutuan) (Larangan Masa Tertentu), had laju kenderaan motor diturunkan kepada 80 km sejam di seluruh Malaysia.

Jelas MOT lagi, road-ban dilaksanakan atas tujuh jenis kenderaan barangan termasuk seperti lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kg, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar dan lori balak.

Katanya, kenderaan lain termasuk lori berat dengan muatannya melebihi 7,500 kg yang mengangkut simen,
besi, keluli, batu, pasir, tanah, amang, bijih timah, arang batu atau bahan binaan atau bahan galian yang lain.

Turut dilarang ialah lori kontena yang mengangkut barangan (kecuali lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI