SUNGAI PETANI – Kerajaan telah menghantar nama calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Audit Negara, dua minggu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan melalui beberapa prosedur sebelum nama calon itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Semua urusan sudah diselesaikan, saya menghantar cadangan nama tersebut dua minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di sini hari ini.
Difahamkan, jawatan Ketua Audit Negara yang terakhir disandang oleh Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang melepaskan jawatan itu pada 23 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau bersara atau mengosongkan jawatan tersebut. – KOSMO! ONLINE