fbpx

Jaga sensitiviti, Nabila isteri orang – Sharnaaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARNAAZ Ahmad menegur tindakan peminat yang memuat naik foto lama dia dan Nabila dalam media sosial tanpa memikirkan sensititiviti status wanita itu sebagai isteri orang.

PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad meminta peminat agar tidak keterlaluan dalam memuat naik foto-foto lamanya bersama bekas isteri, Noor Nabila dalam laman sosial.

Sharnaaz, 37, berkata, meskipun berniat baik dan mendoakan mereka bersama semula, namun tindakan tersebut tidak wajar berikutan Nabila kini bergelar isteri orang.

Tambahnya, mereka seharusnya menjaga sensitiviti dan perasaan suami wanita berkenaan, Engku Emran.

“Saya tak boleh halang orang buat Tiktok tapi mereka kena sedar Nabila isteri orang. Kalau dia bujang tidak apa.

“Fikir sensitiviti dan perasaan suami dia juga. Saya tak salahkan mereka mendoakan yang baik-baik untuk kami tapi kena jaga juga sensitiviti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Polis Evo 3, di sini, semalam.

Menjelaskan hubungannya dengan bekas isterinya itu, Sharnaaz berkata, dia dan Nabila berusaha memberikan kasih sayang dan membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden dengan baik.

“Saya tak pernah ada dendam dengan Nabila. Kami macam satu pasukan dalam membesarkan Jebat. Bagi saya Jebat perlukan kasih sayang ibu dan bapa.

“Dia masih kecil dan tak faham kami sudah berpisah,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan peribadi khususnya soal hati, Sharnaaz mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang wanita.

Bagaimanapun, pelakon filem Juvana itu enggan terlalu berkongsi hal tersebut kepada umum.

“Ya, saya sedang berkawan dengan seseorang tapi saya tak mahu terlampau bercerita tentang kisah peribadi. Pada usia ini saya malu nak cerita perkara-perkara begitu.

“Kita bagi peluang kepada artis-artis baharu saja untuk bercerita kisah cinta mereka,” ujarnya.

Menyentuh soal berkahwin kembali, Sharnaaz mengaku terlalu mencari kesempurnaan menjadi punca dia bimbang untuk berumah tangga sekali lagi.

“Saya ada kelemahan iaitu terlampau mencari kesempurnaan. Sebagai manusia saya sedar kita semua ada kekurangan. Bila mencari tapi tak dapat, siapa yang sakit.

“Sebenarnya yang tidak sempurna itu datang dari saya sendiri,” ujarnya.

Untuk rekod, Sharnaaz berkahwin dengan Noor Nabila Mohd. Noor pada 31 Mac 2017 namun bercerai pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jaydan yang kini berusia empat tahun.

Nabila kemudian mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 19 Mac 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI