KLANG – Diuji dengan pelbagai dugaan sedikitpun tidak melunturkan kasih seorang ibu kepada anak-anaknya, malah wanita itu tetap cekal dalam menjaga dan membesarkan tiga cahaya mata termasuk seorang yang mengidap Cerebral Palsy (CP).
Noor Aisah Gupri, 32, yang merupakan ibu tunggal berkata, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, dia kini memikul tanggungjawab besar bagi memastikan anak-anaknya selesa dalam menjalani kehidupan.
Menurut Noor Aisah, anak keduanya iaitu Dian Maisarah Mohamad Shamsul, 7, telah disahkan doktor dan mengidap sindrom CP sejak lahir.
Dua lagi anaknya adalah Dian Sabrina, 9, dan Arif Hilman, 6.
“Dian Maisarah memerlukan pemerhatian khusus termasuk dari segi makanan.
“Anak sulung dan bongsu pula masih bersekolah dan saya kena cari wang secukupnya bagi memastikan mereka mampu belajar dengan baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Meru, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengurup wang dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Bagaimanapun katanya, dia diberhentikan kerja ekoran kerap mengambil cuti untuk membawa Dian Maisarah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang setiap bulan.
“Dian Maisarah perlu menjalani rawatan di HTAR tiga kali sebulan dan saya juga terpaksa mengambil cuti sekiranya anak tiba-tiba sakit.
“Selepas diberhentikan kerja, saya ambil keputusan untuk berniaga lauk-pauk dengan kakak sejak Jun tahun lalu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Noor Aisah menjelaskan mendapat bantuan lampin pakai buang dan susu khas setiap bulan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Aisah di talian 016-562 9879 atau menyalurkan terus ke dalam akaun Maybank bernombor 162731095006.