fbpx

Farid Kamil teringin berbuka dengan isteri, anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID Kamil masih berusaha keras memujuk isterinya, Diana Danielle demi menyelamatkan rumah tangga mereka.

PETALING JAYA – Tidak sesekali berputus asa dalam usaha menyelamatkan rumah tangga, Farid Kamil kini cuba memujuk untuk bersemuka dengan isterinya, Diana Danielle menerusi bantuan orang tengah.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pelakon dan pengarah itu memaklumkan kepadanya yang dia ingin berbuka puasa bersama dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora sambil berbincang.

“Peguam Diana telah memberikan senarai terma untuk diperincikan dan kami juga maklum dia menolak tawaran perdamaian berjumlah RM319,700 kerana mahu meneruskan perceraian.

“Tetapi Farid pula tetap dengan pendirian ingin menyelamatkan perkahwinan mereka apabila sampai sekarang masih berusaha memujuk isterinya itu.

“Farid ada bagitahu saya dia ingin mengajak Diana dan anak-anak berbuka puasa, tetapi kena cari ahli keluarga terdekat yang dapat menyampaikan hasrat tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Diminta mengulas mengenai beberapa kenyataan kasar aktor berusia 42 tahun itu terhadap Diana sehingga kelihatan tidak selari dengan usaha memujuk, pihaknya percaya perkara itu tidak disengajakan.

Fakhrul berkata, kerana kekhilafan itu membuatkan Farid menyatakan permohonan maaf secara terbuka terhadap Diana serta ibu mentuanya, Norsiah Ramli.

“Selepas ini saya yakin Farid akan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana dia memang sayangkan isterinya dan rumah tangga mereka,” ulasnya.

Terdahulu, Diana, 32, menolak tawaran perdamaian dikemukakan Farid yang menyenaraikan empat tawaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700.

Senarai itu membabitkan sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas bernilai RM10,700, wang pendahuluan nafkah dari Mac hingga Jun 2023 bernilai RM40,000, dan bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah dan sudah bertukar menjadi hutang bernilai RM44,000.

Pada masa sama, Fakhrul turut mengesahkan Farid dan Diana akan menghadiri prosiding sulh kedua pada 25 Mei depan.

Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan pegawai sulh.

Seandainya persetujuan secara damai dapat dicapai dengan sukarela antara kedua belah pihak, butiran itu akan direkodkan hakim sebagai suatu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

Bintang filem Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada10 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI