DIANUGERAHKAN pakej serba lengkap sebagai wanita seperti bertubuh langsing dan kulit sempurna bak model ternama, siapa sangka gadis muda ini berani mencabar diri dengan menceburi industri perkapalan.
Baru meniti usia 27 tahun April ini, pemilik nama Nur Amira Azman begitu optimis terhadap cabang perniagaan perkapalan yang diceburinya kini.
Hasrat untuk menjadi ahli sains selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang itu di Dublin, Ireland terpaksa dileburkan dan Nur Amira tidak pernah menyangka laluan kerjayanya jauh tersasar daripada apa yang diimpikan.
Bagi anak muda kelahiran Pulau Pinang ini, dia terlebih dahulu membina nama dalam bidang kosmetik bermula awal tahun 2018 sebelum melibatkan diri dalam industri perkapalan.
Akuinya, dorongan dan bimbingan berterusan daripada ibu merupakan kunci utama baginya menceburi dan mengasaskan empayar perniagaan sendiri.
“Bagi produk kosmetik, saya mengeluarkan gincu berjenama Glamoritz.
“Bagi perkapalan pula, saya membaiki serta menjual komponen kapal layar,” ujar Nur Amira membuka bicara.
Ditanya bagaimana dia menguruskan perniagaan tersebut secara serentak, Nur Amira mengakui dirinya perlu bijak membahagikan masa, selain sokongan padu daripada pasukannya yang cekap.
Meneruskan kisah, anak sulung daripada dua-beradik ini mengakui, dalam setiap apapun pekerjaan yang dilakukan, pasti ada cabaran tersendiri yang perlu diharungi.
Katanya, dia juga tidak terlepas daripada ujian tersebut apabila pernah ditipu pihak pembekal serta kerugian bahan mentah dalam jumlah yang sangat banyak.
“Jujur saya pernah melalui perkara tersebut. Untung rugi dalam perniagaan itu adat, tetapi itu sama sekali tidak pernah mematahkan semangat kental saya.
“Faktor umur terlalu muda juga merupakan satu lagi cabaran kerana susah untuk meyakinkan pelanggan. Saya terjun dalam perniagaan seawal 22 tahun, bayangkan bagaimana pelanggan nak percayakan saya yang dianggap masih mentah ini,” katanya.
Pun begitu ujarnya, dia langsung tidak pernah menjadikan perkara remeh tersebut sebagai batu penghalang untuknya bangkit berjaya.
“Impian saya untuk lima ke 10 tahun akan datang adalah menjadi usahawan yang diiktiraf dalam bidang kosmetik. Begitu juga dengan bidang perkapalan.
“Bagi anak muda yang berminat dan mahu menjadi usahawan berjaya, teruskan cita-cita tersebut dan jangan sesekali mudah putus asa atau ‘koyak’.
“Lagipun kita sentiasa diingatkan berniaga itu sunah yang dianjurkan Rasulullah SAW dan 90 peratus punca rezeki datang daripada perniagaan,” tuturnya mengakhiri kata.