LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan dua bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat lesen dengan satu daripadanya didapati menggaji pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja, pagi semalam.
Bot kelas A dan B itu ditahan pada kedudukan lebih kurang satu batu nautika barat daya muara Sungai Burong, Bagan Datuk, sekitar pukul 9.40 pagi.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan Op Pintas, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama iaitu bot kelas B yang dikendalikan oleh dua kru termasuk tekong warga Indonesia masing-masing berumur 22 dan 45 tahun menggunakan dua kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sementara, bot kedua iaitu bot kelas A yang dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berumur 69 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah mengubah suai bot pukat tunda hanyut kepada pukat tunda,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, tekong dan kru bot pertama disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE