LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan yang menangkap ikan tanpa lesen serta menggunakan pukat yang diharamkan, dekat muara Bagan Panchor, Pantai Remis, malam kelmarin.
Pengarah Zon APMM Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, pasukan itu menahan dua buah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong di kedudukan 1.07 dan 0.2 batu nautika barat muara Bagan Panchor, sekitar pukul 8 dan 8.20 malam.
“Ketika melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda APMM mengesan kedua-dua bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu menemui tiga kru nelayan tempatan termasuk tekong berumur antara 38 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua bot itu tidak memaparkan nombor pendaftaran serta disyaki menggunakan kaedah penangkapan ikan yang tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE