PETALING JAYA – Kekasih kepada Shila Amzah, Ubai mengesahkan cincin yang diberikan kepada penyanyi itu sebagai tanda untuk ke fasa lebih serius dalam hubungan mereka.
Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, berkata, kedua-dua belah pihak masih dalam perbincangan untuk menetapkan majlis merisik atau bertunang.
“Insya-Allah, cincin itu sebagai tanda untuk ke fasa seterusnya. Bila dah beli cincin, maksudnya saya serius (dalam hubungan).
“Kalau mengenai tarikh, belum tahu lagi sebab kami masih dalam perbincangan untuk tentukan tarikh yang sesuai,” katanya.
Ubai yang juga pempengaruh TikTok berkata, mereka akan mengikut proses adat seperti mana yang selalu dilakukan dalam masyarakat Melayu.
“Kami akan melalui proses mengikut adat seperti merisik, bertunang sehinggalah hari bahagia kami. Tapi, semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.
Sementara itu, bercakap tentang keadaan Shila yang berdepan kontroversi membabitkan ibu bapanya, Ubai berkata, dia tidak masuk campur hal berkaitan privasi kekasihnya itu.
“Kalau tentang keluarga, saya tak masuk campur sangat sebab saya faham privasi mereka. Tapi, saya akan cuba tenangkan dia.
“Saya beritahu dia, kalau nak kongsikan dengan saya, saya akan mendengar. Kalau dia tak selesa untuk kongsikan, tak mengapa,” katanya.
Sekitar Februari lalu, Shila mengakui sedang menjalin percintaan dengan Ubai sejak tahun lalu.
Terdahulu, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, penyanyi itu dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE