fbpx

Bersedia awal, jangan kelam-kabut jika raya mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
Mir Azri Shaharudin

Tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sekali lagi menjadi bualan hangat. Ini kerana pada tahun lalu, anak bulan Syawal kelihatan pada 29 Ramadan menyebabkan Hari Raya Aidilfiri jatuh pada 2 Mei.

Ia sekali gus bertentangan dengan pengiraan hisab dalam kalendar Hijrah yang menyatakan Hari Raya Aidifitri jatuh pada 3 Mei. Pengiraan hisab itu tidak mengambil kira pendekatan rukyah iaitu melihat anak bulan.

Portal berita Gulf News pada 6 April lalu pula melaporkan Pusat Astronomi Antarabangsa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan kebanyakan negara Islam mungkin menyambut hari raya Aidilfitri pada 21 April iaitu hari Jumaat.

Jangkaan itu bertentangan dengan kalendar Hijrah Malaysia yang mencatatkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 22 April iaitu Sabtu.

Pada 7 April lalu, muncul satu video di TikTok daripada Jabatan Mufti Perak. Video itu menjelaskan bahawa berdasarkan pe­ngiraan hisab, anak bulan Syawal tidak akan kelihatan pada 20 April menyebabkan hari raya dijangka jatuh pada 22 April.

Video itu juga memberitahu cara-cara pengiraan tersebut dibuat. Penulis kemudian menghubungi Pegawai Falak Jabatan Mufti Perak, Mohamad Faizal Jani yang kemudian mengesahkan kesahihan video itu.

Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam jabatan itu, Mohamad Amri AlHusni Mohamad Dasuki, pada asalnya, video itu disediakan oleh Mohamad Faizal pada 5 April lalu.

Ia kemudian disunting dan dimuat naik ke TikTok. Pengiraan secara hisab itu dibuat tanpa melihat anak bulan.

Pengarah Pusat Kajian Pe­ngurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan yang mahir dalam bidang falak berkata, penentuan puasa dan

Hari Raya Aidilfitri di negara ini dibuat menerusi kaedah hisab dan melihat anak bulan atau rukyah.

Hal ini kerana agama Islam tidak menetapkan tarikh hari raya terlebih dahulu tetapi ia adalah berdasarkan kepada melihat anak bulan.

“Ramai yang bertanya kenapa lima, 10 dan 15 tahun lepas kalendar kita (Hijrah) tidak pernah salah. Tiba-tiba pada tahun lalu, salah pula,” katanya kepada Kos­mo! ketika dihubungi.

Menurutnya, pada tahun lalu, jangkaan awal itu salah kerana mulai 2022, Malaysia menggunakan kriteria baharu dalam menentukan anak bulan Syawal.

Kriteria itu ialah anak bulan perlu berada di atas ufuk tidak kurang dari 3 darjah dan jarak antara matahari serta bulan tidak kurang 6.4 darjah.

Kriteria lama yang dipakai sejak 1990-an ialah ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang 2 darjah dan jarak antara bulan serta matahari tidak kurang dari 3 darjah.

Berdasarkan pengalaman ta­hun lepas, ekoran hari raya mengejut itu, katanya, ada yang tidak sempat membeli ayam, santan dan sebagainya.

Justeru, Shahir menasihatkan supaya persiapan hari raya dibuat lebih awal. Ini kerana, katanya, penentuan hari raya sudah menjadi semakin dinamik. Beliau juga berkata, kriteria baharu yang digunakan itu juga sesuai dengan asas agama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI