ALOR GAJAH – Hasrat seorang pekerja kedai makan dan anak saudaranya untuk ke bazar Aidilfitri bagi membeli kelengkapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dalam nahas di Jalan Lendu, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Firdaus Yusof, 38, dan Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, yang menaiki kereta Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Seorang lagi penumpang di bahagian belakang, Azizul Bin Hamis @ Jainy, 38, yang juga ahli keluarga mangsa bagaimanapun terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Dimenai Lendu menghala ke bazar Aidilfitri di pekan Masjid Tanah.
“Setiba di lokasi kereta dipandu Muhammad Hasraf telah hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemuda tersebut serta bapa saudaranya yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Mengulas lanjut beliau berkata, Muhammad Hasraf merupakan pekerja kilang, manakala Mohd. Firdaus bekerja di sebuah kedai Tom Yam di Jalan Kelemak.
“Kita percaya kedua-dua mangsa ini dalam perjalanan ke bazar Aidilfitri bagi melakukan persiapan raya yang bakal disambut umat Islam pada minggu hadapan.
“Mayat mangsa telah diserahkan ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat yang akan dilakukan pada pukul 8.30 pagi ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE