PETALING JAYA – Kumpulan AmBank telah bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mendekati masyarakat kurang berkemampuan dengan memberi sumbangan dalam bentuk hamper makanan bernilai RM75,000 kepada 500 keluarga asnaf di seluruh negara.
Kumpulan tersebut turut mengagihkan hamper bernilai RM90,000 kepada 600 pelajar B40 terpilih dari sekolah di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang bernaung di bawah Program Sekolah Angkat AmBank, yang ditugaskan oleh Bank Negara Malaysia dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, melalui sumbangan tersebut diharapkan dapat meringankan beban dan mengurangkan kos perbelanjaan golongan penerima sumbangan tersebut.
“Kami di Kumpulan AmBank akan terus memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam komuniti dengan membawa senyuman di wajah mereka menerusi amalan-amalan mulia sebegini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sulaiman menjelaskan, program tersebut yang bernaung di bawah Program AmKasih Kumpulan merupakan platform untuk inisiatif pembangunan mampan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan.
Program AmKasih memberi tumpuan dalam ‘mendekati masyarakat’ dan berfungsi sebagai payung untuk semua usaha CSR Kumpulan AmBank untuk membantu masyarakat secara amnya. KOSMO!ONLINE