KUALA LUMPUR – “Saya tak nak tularkan muka dia sebab dah bagi muka dekat 23 hari untuk dia minta maaf dan bayar balik duit saya. Saya sampai menangis mental tengok baki akaun dalam bank hanya ada RM500 sahaja.”
Demikian luahan seorang wanita, Farah Hanim yang menjadi mangsa kepada ketamakan anak saudara tirinya sendiri selepas gadis itu menggunakan wang simpanannya sehingga RM12,000 menerusi akses kad di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Farah Hanim menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, berterima kasih kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah Dang Wangi, di sini, kerana berjaya menahan gadis terbabit.
“Alhamdulillah. Berkat doa semua orang, suspek dah kena tangkap. Terima kasih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dang Wangi,” katanya.
Menurut wanita itu, dia pada awalnya mahu selesaikan perkara ini secara dalaman tanpa melibatkan pihak luar, tetapi setelah tidak mendapat kerjasama yang baik daripada gadis berkenaan, Farah Hanim bertindak menularkannya di media sosial dengan harapan orang ramai dapat membantu mengesan si pelaku.
“Sudahlah hari pertama puasa dan nak dekat hujung bulan. Bayangkanlah nak kena bayar komitmen, sewa rumah dan sebagainya. Lagi-lagi duduk pula di tengah Kuala Lumpur.
“Dia pula dekat luar gembira siap beli iPhone 13 Pro Max dan barang-barang kemas dengan hasil mencuri duit saya,” luahnya.
Bagaimanapun, terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, suspek yang merupakan wanita berusia 21 tahun berkenaan berjaya ditangkap di sebuah premis sekitar Pandan Perdana dekat sini kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE