fbpx

Aidilfitri: APM pantau 311 lokasi panas bencana di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wartawan Kosmo!, Nurul Izzati Zaini antara pengamal media yang menerima sijil penghargaan dari Mulliadi, hari ini.

SHAH ALAM – Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan memantau sebanyak 311 lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku bencana alam di seluruh Selangor sepanjang musim Aidilfitri ini.

Kesemua lokaliti itu rata-ratanya melibatkan kawasan banjir dan tanah runtuh yang meliputi sembilan daerah negeri ini.

Pengarah APM Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pemantauan itu selaras pelaksanaan Op Prihatin yang bakal dilancarkan pada 18 April depan.

Katanya, operasi khas selama 14 hari itu antaranya memfokuskan pemantauan anggota di lokasi kediaman penduduk yang pulang bercuti ke kampung halaman.

“Orang ramai akan mula meninggalkan rumah mereka termasuk di lokasi yang berisiko berlakunya bencana.

“Justeru, APM akan menjalankan pemantauan menyeluruh dan berkala di 311 ‘hot spot’ sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi dan lftar APM Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, petang tadi.

Terdahulu, beliau menyerahkan sijil penghargaan kepada pengamal media yang bekerjasama menyalurkan maklumat  tepat dan sahih terutama berkaitan tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Jelas Mulliadi, pihaknya turut akan menggerakkan anggota bagi membantu orang awam yang berdepan situasi kecemasan di jalan raya termasuk tayar pancit, bateri kenderaan lemah dan kehabisan minyak.

“Lebih 400 daripada 675 pegawai dan anggota APM Selangor akan bertugas sepanjang musim Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tragedi Batang Kali pada 16 Disember lalu antara medan cabaran yang menguji tahap kecekapan dan kecekalan APM menangani situasi kecemasan.

“Profesionalisme melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) terutama di Hulu Selangor dianggap berjaya dan berkesan dengan kerjasama semua pihak.

“Selain itu, Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) antara yang berjaya dilonjakkan keupayaannya dalam tragedi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI