SHAH ALAM – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) akan terus memperkasakan kebajikan guru di seluruh negara terutama berkaitan aspek penjagaan kesihatan dan perundangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ini bagi memenuhi keperluan semasa 500,000 warga pendidik di 10,000 sekolah mengikut keadaan masa kini.
“Kalau mengikut perkembangan semasa didapati kebelakangan ini isu penjagaan kesihatan sering menjadi masalah utama kepada para guru muda.
“Ini terutama kes penyakit kritikal seperti kanser dan serangan jantung dan berdasarkan statistik adalah melibatkan guru berusia berusia 35 hingga 50 tahun,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat 2023 (Imtiyaz) di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam menyerahkan zakat perniagaan yayasan itu yang berjumlah RM120,737 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Wan Munadi menjelaskan pemfokusan dalam aspek perundangan susulan ketika ini para guru juga berdepan banyak tindakan undang-undang seperti disaman atau sebagainya.
Ujar beliau, YGMB sememangnya ada menyediakan khidmat bantuan guaman bagi membantu golongan berkenaan.
“Justeru itu, kita sentiasa mengerakkan usaha-usaha bertemu secara bersemuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan malah di peringkat sekolah sekalipun.
“Ini bagi memastikan kita mengetahui apa lagi yang boleh dibantu dalam aspek kebajikan dan perlindungan kepada guru-guru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Munadi berkata,
pemberian zakat berkenaan berdasarkan sebahagian hasil keuntungan usaha niaga lima anak syarikat yayasan itu di seluruh negara.
“Menerusi hasil keuntungan ini, kita berharap peranan YGMB terus diperkasakan sebagai agensi berperanan untuk memelihara dan di samping membantu meningkat profesionalisme warga pendidik seluruh negara,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE