
TEMPOH 12 tahun boleh dikatakan penantian agak lama buat skuad bawah 22 negara (B-22) untuk mengecapi ‘ibu emas’ saingan temasya Sukan SEA selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Berdasarkan sasaran awal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad muda Harimau Malaya telah diberikan Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) untuk mara sekurang-kurangnya ke pentas final pada Sukan SEA 2023.
Situasi ini boleh dianggap relevan memandangkan FAM telah bekerja keras dalam usaha merombak barisan kejurulatihan sebelum ini.
Di bawah kendalian Brad Maloney, skuad negara gagal meraih sebarang kilauan pingat pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam selain tewas awal pada saingan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan.
Keputusan negatif itu menyaksikan badan induk bola sepak negara ‘berpisah’ dengan Maloney sebelum memberikan tugas ketua jurulatih kepada pengendali berpengalaman tempatan, E. Elavarasan.
Pelantikan Elavarasan boleh dianggap memberi nafas baharu buat skuad B-22 memandangkan statusnya juga selaku penolong jurulatih kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Skuad kendalian Elavarasan juga telah melaungkan amaran awal apabila berjaya menjuarai kejohanan pemanas badan, Piala Merlion di Singapura bulan lalu.
Namun, momentum positif skuad muda negara seperti direntap apabila diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama pasukan pilihan, Thailand dan Vietnam selain Laos serta Singapura pada temasya Mei depan.
Di atas kertas, peluang skuad negara nampak tipis memandangkan status Vietnam selaku juara bertahan dan skuad Gajah Perang yang memiliki reputasi hebat di rantau ini.
Namun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin tidak menganggap skuad (B-22) negara berada dalam kumpulan maut sebaliknya cabaran yang bagus buat pasukan untuk bertemu negara lebih kuat di pusingan awal.
Menurut Hamidin, situasi sama pernah berlaku ketika dia bergelar pengurus skuad B-22 negara pada temasya Sukan SEA 2011 apabila diundi dalam kumpulan yang sama dengan tuan rumah, Indonesia dan Thailand.
“Ramai yang kata kita diundi dalam kumpulan maut, sebenarnya tidak. Saya sudah bermesyuarat dengan Elavarasan dan optimis ini adalah undian terbaik. Biar kita bertemu pasukan kuat dan kita akan mara cepat ke separuh akhir dan final.
“Jika dikenang kembali, situasi sama berlaku pada edisi 2011 sewaktu pasukan dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee,” katanya.
Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpandangan agar skuad B-22 negara tidak diberikan tekanan yang lebih tinggi dalam memastikan impian untuk meraih pingat emas dapat dilunaskan nanti.
“Saya rasa tidak wajar untuk kita menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada skuad B-22 negara pada Sukan SEA nanti walaupun mereka berjaya menjuarai Piala Merlion baru-baru ini.
“Kita harus beri mereka ruang untuk mencipta kejayaan tetapi jika menang pingat emas di Kemboja nanti boleh dianggap bonus.
“Sebaiknya, jangan terlalu memuji mereka (pemain) supaya tidak terbuai dan andai kata mereka tidak berjaya ia akan musnahkan perkembangan pemain di masa depan,” katanya.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya mara ke final adalah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 sebelum tewas kepada Thailand 0-1.