PENYELARAS projek Road To Gold (RTG), Stuart Ramalingam percaya status pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dalam senarai atlet elit ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak perlu dipersoalkan.
Menurut Stuart, Zii Jia yang menghuni ranking No. 4 dunia kekal menjadi pemain perseorangan terbaik negara ketika ini, sekali gus tidak wajar diketepikan walaupun ada konflik dalaman sebelum ini.
Stuart berkata, penglibatan Zii Jia membuktikan projek RTG sentiasa terbuka bagi memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada mana-mana atlet berpotensi menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.
“(Rangking) Zii Jia tempat keempat dunia, secara dasar kita tidak boleh terlepas pandang terhadap Zii Jia. Saya rasa kemasukannya tidak patut dipersoalkan kerana dia kekal pemain perseorangan No. 1 ketika ini.
“Kita tahu dia mungkin ada sejarah yang masih diingati ramai, tetapi perkara itu sedang diselesaikan untuk memastikan peluang terbuka untuk Zii Jia pada Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya.
Selain Zii Jia, tiga beregu profesional iaitu dua wakil beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi antara keseluruhan 15 atlet yang tersenarai dalam projek RTG.
Stuart turut mengesahkan hampir separuh daripada 15 atlet yang ditemui baru-baru ini sudah menyatakan hasrat dan keinginan memaksimumkan potensi sebelum menghadapi Sukan Olimpik.