KUALA LUMPUR – Penyanyi Shila Amzah menafikan wanita yang dikatakan ibu tirinya, Siti Munirah Abd. Ghani adalah sahabat baiknya ketika di bangku sekolah.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 33, menegaskan, wanita itu tidak layak mendapat gelaran sedemikian biarpun mengakui sudah mengenalinya sejak daripada bangku persekolahan lagi.
“Sudah tentu (mengenali wanita itu), pada saya tidak ada orang baik yang akan berkelakuan seperti itu. Saya tiada ucapan baik mahupun buruk kepadanya.
“Segala rasa untuk diberikan tidak memadai kepadanya sama ada sayang atau benci. Saya rasa dia tidak layak menerima apa sahaja rasa daripada saya.
“Semasa zaman persekolahan memang dia adalah kawan rapat saya dan dia selalu tidur di rumah saya. Kami memang sangat rapat. Jadi, dia selalu bercerita mengenai masalahnya kepada saya,” katanya.
Tegas pelantun lagu Patah Seribu itu dia kini tidak tergamak untuk menggelarnya sebagai rakan kerana hubungan tersebut sudah lama terputus.
“Semasa dewasa pula kami memang sudah tidak begitu rapat kerana dia seorang yang suka menghilangkan diri. Saya anggap kami tiada persefahaman sahaja.
“Tapi, dia lebih rapat dengan mak saya berbanding saya selepas tamat sekolah. Ini adalah realiti dan saya perlu perjelaskan kerana dia bukan kawan baik saya.
“Perkataan kawan dan baik tidak sesuai untuk dia. Mungkin kedengaran kasar tapi itulah kenyataannya. Sebagai seorang wanita memang nang akan terasa apabila berhadapan dengan situasi seperti ini,” katanya.
Bagaimanapun, Shila berkata, apa yang terjadi bukanlah perkara asing bagi dirinya kerana pernah melalui episod sama dalam kehidupannya sebelum ini, selain percaya, ada perkara baik menanti keluarganya.
“Ini adalah ujian ke atas keluarga saya atau satu perkara yang menjadi titik tolak untuk kami perbaiki pada masa akan datang. Mungkin ada keadaan atau kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya percaya ada hikmah disebaliknya. Bagi saya, apabila ada perkara buruk berlaku, saya tidak akan melihat secara keseluruhannya adalah buruk kerana tiada apa yang abadi di dunia ini.
“Di dalam dunia ini kita boleh usaha dan ikhtiar mencari kebahagiaan sendiri, tapi tiada siapa yang dijanjikan kesempurnaan dan keabadian.
“Jadi, apa yang terjadi itu adalah asbab (untuk menjadi lebih baik). Saya reda dan berdamai dengan apa jua keadaan,” katanya.
Terdanhulu, konflik rumah tangga bapa Shila iaitu ND Lala tercetus apabila isterinya, Datin Fauziah Sarman mendedahkan wajah wanita bernama Siti Munirah Abd. Ghani dengan keterangan gambar ditulis ‘penyondol’ dalam Instagram miliknya.
Difahamkan, Siti Munirah bukanlah asing dengan keluarga Fauziah dan ND Lala memandangkan dia rakan sekolah Shila.
Mereka sama-sama pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, di sini, dan Siti Munirah sering berkunjung ke rumah mereka untuk majlis-majlis tertentu terutama keluarga.
Pada 3 April lalu, Fauziah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi untuk memfailkan perceraian terhadap ND Lala namun salah seorang anaknya, Syada menafikan perihal terbabit malam tadi kepada media. – KOSMO! ONLINE