fbpx

Perang Ukraine ragut 8,500 nyawa orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah bangunan kediaman musnah selepas dibedil tentera Russia di Izyum, wilayah Kharkiv, 20 Februari lalu. - AFP

GENEVA – Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak-Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyatakan bahawa anggaran angka korban orang awam dalam perang Ukraine adalah hampir 8,500 orang, namun memberi amaran jumlah sebenar mungkin lebih tinggi, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

Menurut OHCHR, 8,490 orang awam terbunuh manakala 14,244 lagi cedera sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.

Daripada semua mangsa, 7,011 orang terbunuh disebabkan oleh senjata meletup dan mewakili majoriti besar yang maut dengan kesannya melibatkan kawasan luas.

Ia turut melibatkan bom, peluru berpandu kruz dan peluru lain. Selain itu, seramai 13,495 orang awam cedera akibat senjata meletup.

Jumlah keseluruhan itu adalah termasuk 163 mangsa dengan 44 daripadanya terbunuh serta 119 cedera dari tempoh 1 hingga 9 April lalu.

Bilangan korban dalam bulan-bulan pertama konflik tersebut adalah amat tinggi tetapi berkurang apabila tentera Ukraine berjaya menjadikan askar Russia mundur ke wilayah yang ditakluki.

Pada Mac 2022, sekurang-kurangnya 4,063 orang terbunuh tetapi pada Mac 2023, jumlah kematian orang awam yang dianggarkan hanya 178 orang.

“OHCHR percaya bahawa angka sebenar adalah jauh lebih tinggi kerana penerimaan maklumat dari beberapa lokasi di mana pertempuran sengit telah ditangguhkan, selain banyak laporan masih menunggu pengesahan,” kata agensi tersebut dalam satu kenyataan akhbar.

Sementara itu, wakil Poland ke Kesatuan Eropah (EU) berkata, lebih 11 juta rakyat Ukraine telah menyeberang sempadan ke negara itu sejak konflik tersebut bermula.

“Hari ini (kelmarin), bilangan orang yang telah melintasi sempadan Poland-Ukraine sejak permulaan pencerobohan Russia melebihi 11 juta,” kata wakil tersebut kelmarin menerusi laman Twitter. 

“Sekitar 87 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Semua yang melarikan diri dari perang akan mendapat perlindungan dan semua bantuan yang mereka perlukan di Poland,” tambah kenyataan yang sama. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI