HULU SELANGOR – Dua individu dipercayai pemandu dan kelindan lori ais maut selepas melanggar belakang sebuah treler di kilometer 402.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.13 pagi tadi.
Katanya, seramai 10 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.
“sSetibanya di lokasi, kami dapati kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Scania yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan ais batu.
“Dua lelaki berusia linkungan 30-an yang menaiki lori itu masing-masing tersepit di bahagian pemandu dan kelindan dan dipercayai meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Morni, identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti dan usaha membawa keluar mangsa sudah dilakukan. – KOSMO! ONLINE.