KOTA KINABALU – Seorang lelaki ditemui terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan pusat beli-belah di Jalan Lapan Belas hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.24 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki berkenaan dipercayai terjatuh dan berada dalam keadaan meniarap di atas lantai luar bangunan terbabit.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati lelaki itu dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan. Pemeriksaan di tingkat lima mendapati sepasang selipar dipercayai milik mangsa masih berada di bahagian tingkat.
“Mangsa parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE). Siasatan sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE