fbpx

Lari tinggalkan 4.8 juta rokok kretek dalam bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL menunjukkan rokok kretek yang dirampas menerusi Op Khas Pagar Laut di Ibu pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 4.8 juta batang rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor, pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) telah mengesan sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.20 malam.

Katanya, suspek yang berada di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang bagaimanapun terus memecut laju bot sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Lima anggota Maritim yang menaiki sebuah bot Maritim Malaysia telah mengejar suspek selama kira-kira 30 minit sebelum bot pancung dipercayai dari Indonesia itu tersasar dan memasuki kawasan paya bakau.

“Lima suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan paya bakau dan pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran itu menemukan 455 kotak besar mengandungi 4.8 juta batang rokok pelbagai jenama,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Negeri Sembilan dan Melaka, di sini hari ini.

Ujarnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot pancung dan enam enjin jenis Yamaha adalah bernilai RM3.53 juta.

Mengulas lanjut Saiful berkata, rokok kretek yang dirampas menerusi Op Khas Pagar laut itu disyaki diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di pasaran semenanjung Malaysia serta tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan sindiket.

“Suspek disyaki sedang menunggu isyarat untuk berhenti di persisiran pantai bagi memindahkan rokok ke dalam kenderaan yang sedang menunggu.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI