fbpx

Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar, operasi ditutup sementara waktu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah bangunan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, Kota Bharu malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA

KOTA BHARU – Operasi Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini ditutup buat sementara waktu selepas tiga buah bilik pemeriksaan doktor untuk pesakit luar dan sebuah bilik pemandu ambulans terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua 100 petugas klinik berkenaan ditempatkan di Klinik Kesihatan Badang, Klinik Desa Kemeruk dan Klinik Desa Kemumin di sini.

“Sepanjang tempoh siasatan kebakaran itu, perkhidmatan kesihatan ibu dan anak akan beroperasi di Klinik Desa Kemumin dan Klinik Desa Kemeruk.

“Pengendalian kes kronik pula akan dijalankan di Klinik Kesihatan Badang. Bagi kes pesakit luar dan kes kecemasan, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berdekatan,” katanya kepada pemberita semasa turun padang melihat kesan kebakaran di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Zaini memberitahu, JKNK akan maklumkan kepada orang awam mengenai pembukaan semula klinik itu selepas mendapat kebenaran daripada pihak bomba.

Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa mampu menampung 80,000 pesakit beroperasi sejak 1972 merangkumi unit farmasi, unit makmal, unit x-ray, klinik pergigian, unit fisioterapi dan cara kerja, klinik ibu dan anak termasuk unit kecemasan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Illias berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 12.33 tengah malam selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, kebakaran itu melibatkan empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans dan tiga bilik pemeriksaan doktor iaitu bahagian pesakit luar.

“Bangunan itu terbakar 80 peratus dan api berjaya dikawal pada pukul 12.55 tengah malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI