SEREMBAN- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi tumpuan terhadap kategori anak angkat dalam permohonan taraf kewarganegaraan yang masih belum selesai.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kategori anak angkat merupakan jumlah tertinggi daripada keseluruhan 133,436 permohonan taraf kewarganegaraan.
“Misalnya tadi, yang menerima surat kelulusan itu apabila saya tanya dalam kalangan penerima, sejak bila mereka menjaga anak angkat tersebut, mereka katakan sejak usia anak mereka satu hari.
“Apabila ditanyakan sudah berapa tahun memohon ada yang sudah 12 tahun dan sembilan tahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, apabila kementerian mengeluarkan keluarkan surat kelulusan warganegara itu bermaksud memberi akses kepada pendidikan dan kesihatan.
Tambah beliau, satu lagi kategori yang akan menjadi tumpuan pihak kementerian untuk diselesaikan adalah melibatkan pemohon yang lahir sebelum kemerdekaan negara.
“Mereka ini sudah mencecah umur sehingga 80 tahun, masih lagi belum selesai, jumlah mereka tidak ramai dalam lingkungan 3,000 orang sahaja, ini juga menjadi keutamaan.
“Penting saya sebut dalam mempertimbangkan proses permohonan kewarganegaraan, aspek yg menjadi panduan kami adalah kesemua itu tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut seksyen-seksyen berkaitan.
“Fasal-fasal itu yang akan memandu kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam memproses dan menilai,” ujarnya yang meletakkan sasaran untuk menyelesaikan 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan tahun ini. – KOSMO! ONLINE