PEJAM celik, pantas sungguh masa berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar, kita sudah memasuki peringkat terakhir bulan Ramadan atau juga disebut fasa mengejar malam Lailatulqadar.
Kalau Ramadan melabuhkan tirainya tahun ini, entah masih adakah kesempatan untuk bertemunya lagi pada tahun depan atau tidak. Perkara tersebut sudah tentu berlegar-legar dalam jiwa orang yang merindui Ramadan.
Justeru, jika takut tidak berkesempatan bertemu lagi pada tahun depan, ambillah peluang 10 terakhir Ramadan pada tahun ini sehabis baik.
Kejarlah pahala, buatlah amal kebajikan dan banyakkan beribadah dalam mencari keampunan serta keredaan Allah SWT.
Jangan biarkan diri terleka dengan persiapan berlebih-lebihan menyambut Syawal sehingga terlepas peluang merasai manisnya mengejar Lailatulqadar dan beribadah kepada Allah.
Bukan apa, orang kita sering terbiasa dengan amalan menjadikan hujung-hujung puasa sebagai waktu untuk fokus terhadap persiapan raya, sedangkan semua itu boleh dilakukan sejak awal.
Benarlah seperti yang dikata, masyarakat kita gemar mengamalkan sikap last minute tapi jika difikirkan semula, alangkah ruginya kalau bab ibadah yang cuma datang setahun sekali kita abaikan.
Teringat pula dengan isu viral tentang segelintir netizen yang masuk campur dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga mengundang perhatian agamawan tersohor, Ustaz Azhar Idrus.
Kata beliau, siapa kita untuk masuk campur dalam agama Allah? Tujuh lapis langit dan semesta pun tunduk kepada syariat Allah, mengapa pula kita manusia yang hina dan kerdil ini sibuk mencampuri urusan agama.
Teguran tersebut tidak akan disuarakan agamawan itu jika tiada pihak yang dengan berani dan tanpa perasaan malu atau takut masuk campur dalam urusan penetapan anak bulan Syawal.
Semuanya gara-gara takut ‘raya terkejut’ seperti tahun lepas. Secara tidak langsung, apa yang berlaku menunjukkan masyarakat kita terlalu berlebih-lebihan dalam menyambut Syawal sehingga tidak menghargai kemuliaan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.
Tegur Ustaz Azhar, situasi raya mengejut seperti yang berlaku pada tahun lalu semuanya berpandukan dengan anak bulan Syawal yang kelihatan awal.
Persoalannya, untuk apa kita terlalu mengejar dan memikirkan soal beraya, sedangkan momen tersebut tetap akan diraikan bila tiba masanya.
Tak perlu mengejar atau terlalu memikirkannya, serahkan saja kepada seisi semesta untuk menentukan atas kehendak Allah. Kita buat saja kerja kita sebagai manusia, berpuasa dan beribadah.
Paling penting, jangan jadikan diri kita sebagai manusia yang rugi. Peluang pecutan malam terakhir sudah terbentang di depan mata, sama ada mahu atau tidak sahaja untuk mengejarnya.
Peluang tak datang banyak kali. Anggaplah setiap Ramadan yang datang sebagai momen terakhir untuk kita. Dengan itu, secara langsung akan menebal dalam hati perasaan cintakan Ramadan dan ibadah.