fbpx

Dua anggota polis didakwa samun pelanggan hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelanggan hotel warga asing, minggu lalu.

Tertuduh, T.S Praveen 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia bernama Anisa dan mengambil barang kepunyaan mangsa.

Barangan tersebut adalah satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad ATM Hong Leong Bank dengan kerugian lebih kurang RM1,800.

Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 10 malam sehingga 11.30 malam di dalam hotel bajet di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa, seorang warga Indonesia.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang dan tidak mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 23 Mei ini sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI