MELAKA – Lelaki yang ditahan pihak polis pada Sabtu lalu selepas dipercayai telah merogol dan menjadikan anak tirinya berusia 16 tahun sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu akan didakwa dengan 32 pertuduhan di Mahkamah Ayer Keroh, esok.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bagi proses pendakwaan.
Katanya, lelaki yang bekerja sebagai pengajar kelas renang berusia 36 tahun itu akan berdepan 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, manakala 12 lagi melibatkan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Suspek juga akan dituduh atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.
“Ibu kandung mangsa berusia 40 tahun yang sebelum ini turut direman akan menjadi saksi pendakwaan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zainol berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai telah menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak awal Januari 2020.
“Perbuatan terkutuk itu dilakukan suspek ketika mangsa sedang tidur di dalam biliknya di rumah mereka.
“Dia juga bertindak menutup mulut mangsa sebelum merogolnya. Kejadian itu juga dilakukan suspek ketika isterinya sedang tidur,” ujarnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan perbuatan sepasang suami isteri membuat laporan polis mendakwa anak remaja mereka hilang dari rumah di Jasin dekat sini bulan lalu, membongkarkan perbuatan terkutuk mangsa diperkosa sejak tiga tahun lalu.
Kedua-dua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang, Selangor pada pukul 9.30 malam pada 8 April lalu sejurus tiba dari Sabah. – KOSMO! ONLINE