PUTRAJAYA – Tiada masalah bagi Malaysia untuk membenarkan negara Australia berkongsi laporan penuh Tragedi Double Six pada 1976 membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah pun menghubungi negara Australia menerusi Suruhanjaya Tinggi mereka di Kuala Lumpur.
Malah, katanya, beliau dimaklumkan Australia sudah bersedia untuk berkongsi laporan penuh tragedi berkenaan.
“Mereka menghormati pendirian Malaysia mengenai tragedi itu dan telah meminta keizinan kita untuk berkongsi laporan itu malah, kita tiada halangan mengenainya.
“Terpulang kepada mereka (Australia) bila untuk berkongsi laporan penuh tragedi itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, kerajaan juga tidak mempunyai alasan kukuh kenapa tragedi itu diklasifikasikan sebagai ‘rahsia’ sejak 47 tahun lalu sebelum ia didedahkan semalam.
Bagaimanapun, Loke berkata, beliau memahami perasaan waris keluarga nahas itu dan sudah tiba masanya punca nahas itu didedahkan kepada awam.
Ditanya sama ada keluarga mangsa ada menuntut pampasan berhubung tragedi itu, Loke berkata, kerajaan tidak pernah menerima permohonan pampasan daripada keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE