PETALING JAYA – Pernah mengalami masalah gangguan kebimbangan atau ‘anxiety disorder’ ketika namanya memuncak beberapa tahun lalu, Zizan Razak mengakui semakin peka dengan penjagaan kesihatan mental.
Pelakon dan pelawak itu memilih untuk merehatkan minda serta mengecas semula tenaga dengan mengambil cuti pendek setiap kali selepas menyempurnakan sesuatu projek.
“Saya tak tahu nak rasa kelakar atau tak, sebab rasa takut tak dijangka yang saya alami memang menyakitkan. Ada hari yang kita takut, kita rasa takut sangat dan kalau sedih, sedih sangat. Awak menangis saja.
“Doktor kata sebab saya tak cukup rehat. Sampaikan gaji masuk kita tak tahu nak hargai (imbuhan) itu macam mana. Pergi bercuti pun tak tahu nak ke mana.
“Setiap kali bergambar dengan peminat pula dahi saya mula berpeluh-peluh. Mulanya saya saya ingat jantung tetapi semua normal. Kemudian doktor minta saya pergi periksa (kesihatan) mental.
“Selepas itu saya cakap pada pengurus setiap kali lepas kerja kena cuti, saya kena berehat. Kita bukan makin muda, makin tua. Nak tak nak kena rehat. Benda tu sangat penting,” katanya.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak berkongsi mengenai pengalaman getir yang pernah dilalui sekitar tiga tahun lalu di podcast Studio Sembang kendalian pelakon, Amelia Henderson.
Hanya pada 2020 aktor berusia 39 tahun itu mendedahkan masalah dialaminya selama bertahun-tahun itu kepada umum.
Dalam wawancara tersebut Zizan berkata, perkara itu dialami ketika namanya mula meningkat beberapa tahun dahulu berpunca daripada tiada masa rehat yang cukup.
Dihambat kesibukan kerjaya dia terlepas banyak perkara, termasuk momen bersama keluarga selain dihimpit isu kesihatan mental.
“Hakikatnya banyak benda saya tertinggal sampai hilang masa dengan keluarga dan paling tak seronok ialah kesihatan apabila saya beberapa kali kena ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
“Saya takut (masalah) jantung kerana kadang-kadang rasa berdebar-debar. Tidur pun berdebar-debar. Rupa-rupanya saya dikesan ada ‘Anxiety Disorder’,” katanya lagi.
Begitupun, di sebalik perkongsian menyentuh hati itu dia sempat berlawak ketika menyatakan pernah diserang Influenza A sebelum derai tawa Amelia pecah dengan sikap lucunya.
Sementara itu, Zizan sekali lagi bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam filem Polis Evo 3 yang juga usaha sama Skop Production bersama Astro Shaw yang bakal ditayangkan pada 25 Mei ini. – KOSMO! ONLINE